Home Ekonomi PNB agih dividen dan bonus RM14.6b

PNB agih dividen dan bonus RM14.6b

Abdul Wahid Omar bersama Abdul Rahman Ahmad (kiri) ketika mengemudi PNB sebelum pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) telah mengedarkan dividen dan bonus sebanyak RM14.6 bilion bagi tahun kewangan 2017, sekaligus menjadikan pembayaran terkumpul sejak penubuhannya adalah RM172.1 bilion.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi positif pengurus dana terbesar negara itu didokong oleh pemulihan FBM KLCI yang disokong oleh asas yang ekonomi yang kukuh.

“Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.9 peratus pada 2017 manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 9.4 peratus selepas tiga tahun menghasilkan pulangan negatif.

“Jumlah aset bersih proforma PNB dan dana amanah saham PNB meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada RM17.7 bilion,” katanya semasa membentangkan Laporan Tahunan Awam Tahun Kewangan 2017 di sini hari ini.

Ini merupakan laporan tahunan awam pertama diterbitkan PNB sejak penubuhannya selaras dengan usaha organisasi itu untuk mewujudkan lebih ketelusan.

Tambah Abdul Wahid, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat sebanyak 4.8 peratus kepada RM279.2 bilion bagi tahun kewangan 2017.

Dalam perkembangan berbeza, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad mengesahkan firma tersebut telah menjual hartanahnya di London, 90 High Holborn malam tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai dan butiran lanjut penjualan tersebut.

Sebelum ini, PNB menafikan ia bakal menjual hartanahnya di London kerana mampu memberikan keuntungan modal yang tinggi.

Bagaimanapun menurut Abdul Rahman, ia masih mempunyai beberapa hartanah di sana dan tidak mempunyai cadangan untuk menjualnya kerana menghasilkan pulangan yang tinggi.

PNB membeli 90 High Holborn pada awal 2012 bersama beberapa aset lain.-MalaysiaGazette