Home Utama Tunggu giliran meningkat 106 tahun

Tunggu giliran meningkat 106 tahun

Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jumlah pendaftaran haji sudah mencecah lebih 2.9 juta orang sehingga 28 Feb lalu, sekaligus menjadikan tempoh menunggu giliran untuk menunaikan ibadah itu bagi pendaftaran baru meningkat kepada 106 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja lebih 78,000 pendaftaran baharu haji dicatatkan.

“Kuota haji yang diperuntukkan kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi pada 2018 adalah sebanyak 30,200, itupun tidak cukup untuk menampung jumlah rakyat Malaysia yang semakin lama semakin bertambah untuk mendaftar haji, ” katanya semasa sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengurangkan jumlah bakal jemaah haji bagi mengimbangi jumlah kos subsidi hajiyang semakin meningkat.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan tidak pernah merasakan kenaikan kos haji termasuk pengenalan cukai nilai tambah (VAT) oleh Arab Saudi sebagai halangan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal-bakal jemaah haji.

Katanya, walaupun kos mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah secara keseluruhannya meningkat kepada RM22,450 bagi setiap jemaah, kerajaan tidak berhasrat menaikkan jumlah pembayaran bagi bakal jemaah haji baharu dan mengekalkannya pada RM9,980 bagi tahun ini. – MalaysiaGazette