KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya mengesan dan menangkis satu insiden keselamatan siber yang melibatkan percubaan untuk memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej SWIFT palsu, kelmarin.
Kesemua transaksi yang cuba dilakukan itu berjaya disekat menerusi tindakan pantas BNM dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi kewangan lain.
Bank Pusat itu berkata, ia tidak mengalami apa-apa kerugian kewangan berikutan insiden ini.
Malah, sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan BNM juga tidak terjejas sama sekali.
BNM sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden ini dengan mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa, menurutnya dalam satu kenyataan di sini.
Bank Pusat itu berkata, semua langkah kawalan risiko yang ada setakat ini sangat berkesan untuk menghalang insiden seumpama itu daripada berulang.
Walau bagaimanapun, BNM tetap mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan.
BNM juga akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia, kerana insiden pada masa hadapan mungkin melibatkan perancangan dan pendekatan yang lebih sofistikated.
Institusi kewangan juga dinasihati supaya sentiasa berwaspada dalam menghadapi risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan sistem keselamatan masing-masing bagi menghadapi ancaman pencerobohan seperti ini.
BNM ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian negara kekal tidak terjejas dan terus beroperasi dalam keadaan baik dan selamat. – MalaysiaGazete