Home Nasional Rozita hampir jadi pencuri kerana kebulur..

Rozita hampir jadi pencuri kerana kebulur..

Pemilik Restoran D'Anis Putri, Rozita Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Silaturrahim PPIM bersama media dan rakan strategik di Restoran D'Anis Putri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Seorang penerima bantuan asnaf tidak menyangka kehidupannya berubah selepas merasai menjalani keperitan hidup dengan bekas suaminya.

Rozita Mohamad, 50, berkata, berkat kesabaran dan langkah berjimat mengatur perbelanjaan hasil daripada bantuan kewangan Baitulmal sebanyak RM2,000 serta hasil simpanan sendiri – dia kini menjadi tauke sebuah restoran di Pantai Dalam.

Beliau yang ditemui MalaysiaGazette dalam satu majlis anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam, Rozita berkata, kesenangan kehidupan yang dinikmati hari ini telah direncanakan Allah.

Menceritakan pengalamannya, Rozita yang berasal dari Kelantan merasai kehidupan susah ketika mengandung anaknya yang ketika itu baru lapan bulan.

Katanya, disebabkan kesempitan hidup, dia pernah terdetik mahu mencuri.

“Satu hari tu saya ada kesempatan untuk mencuri duit di cashier. Tapi saya dah tekad dalam hati saya, kalau dah ditulis saya mati kebulur, saya rela.

“Tapi namanya hendak mencuri tu tidak sekali. Saya hampir sikit lagi nak buat begitu tapi saya sabar,” katanya.

Menurut Rozita, dia ketika itu tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan punca rezekinya hanya menjual nasi lemak yang dibungkus dan dijual dengan harga 40 sen sebungkus.

“Makanan yang paling saya tak boleh lupa sampai sekarang semasa susah iaitu makan nasi dengan telur dadar dan budu. Air pula teh O. Itulah makanan paling sedap,” ujarnya.

Berkat doa yang tidak putus setiap hari, dia kemudiannya mendapat ilham memohon bantuan baitulmal di pejabat Pusat Zakat Wilayah Persekutuan.

Dia kemudiannya menggunakan wang tersebut sebagai modal untuk berniaga makanan dan berkat cermat dalam menguruskan wang hasil daripada keuntungan jualan lauk pauk, dia kemudian mula membuka kedai sendiri.

Rozita yang juga seorang ibu tunggal kini sukses dengan membuka sebuah Restoran Anis Puteri di Pantai Dalam dengan jualan juadah sarapan pagi dan masakan makanan tengahari.

Restoran Anis Puteri kini menjadi tumpuan kepada peminat masakan Pantai Timur termasuk VIP.

Restorannya sering mendapat tempahan untuk pelbagai majlis malah, turut dikunjungi ramai individu ternama.

Tambahnya, dia tidak pernah kesal dengan kehidupannya yang miskin sebelum ini malah mahu menjadikan semua pengalaman itu sebagai perangsang. – MalaysiaGazette