Home Dunia PBB senarai hitam kapal, syarikat berdagang dengan Pyongyang

PBB senarai hitam kapal, syarikat berdagang dengan Pyongyang

Kim Jong-un terlibat memantau ujian peluru berpandu Korea Utara. foto Agensi

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyenaraihitamkan 27 buah kapal, 21 syarikat-syarikat perkapalan dan seorang individu kerana membantu Korea Utara yang kini dikenakan sekatan antarabangsa.

Peraturan terkini itu bukan sahaja tertakluk kepada operasi perkapalan Korea Utara tetapi juga membabitkan syarikat-syarikat China yang berdagang dengan Pyongyang.

Senarai itu membabitkan 16 syarikat di Korea Utara, lima yang didaftarkan di Hong Kong dan dua di China, serta dua di Taiwan dan masing-masing satu di Panama dan Singapura.

Pendekatan itu dicadangkan oleh Amerika Syarikat pada bulan lalu bagi menangani menyeludupan komoditi seperti minyak dan arang batu ke Korea Utara.

Sekatan ke atas tangki-tangki minyak dan kapal kargo itu dilaksanakan di seluruh pelabuhan dunia dan perniagaan-perniagaan itu bakal menghadapi pembekuan aset.

Ia merupakan pakej sekatan terbaru PBB bagi menentang program peluru berpandu dan nuklear Pyongyang.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley berkata, tindakan terkini itu merupakan isyarat jelas tentang penyatuan komuniti antarabangsa untuk meningkatkan sekatan ke atas regim Korea Utara.

Korea Utara telah tertakluk dalam beberapa sekatan antarabangsa sejak tahun 2016, membabitkan kebanyakan eksport serta kawalan terhadap import minyak.

Para diplomat percaya sekatan itu akan menjadi kunci utama kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un untuk menghentikan program peluru berpandu dan nuklear serta memulakan rundingan. – MalaysiaGazette