Home Nasional Johari Ghani sumbang RM10,000 untuk tabung IPB

Johari Ghani sumbang RM10,000 untuk tabung IPB

Pengerusi Perbadanan Kampung Baru, Datuk Affendi Zahari melakukan gimik perasmian sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif IPB, Tuan Haji Sakaria Semela ( dua kiri) pada Hari Terbuka Institut Baitulmal (IPB) di di Perkarangan IPB, Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini memberikan sumbangan RM10,000 kepada Institut Profesional Baitulmal (IPB) khusus untuk disalurkan kepada tabung usahawan muda.

Sumbangan itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa, Datuk Affendi Zahari mewakili Ahli Parlimen itu yang tidak dapat hadir ke Program Hari Terbuka IPB sebentar tadi.

“Dengan ini bagi pihak beliau saya mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada tabung usahawan muda IPB, kalau tak cukup minta lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Johari, katanya, bersetuju jika kawasan Titiwangsa itu dimajukan sehingga boleh menjadi hab pengajian pendidikan dengan wujudnya IPB, Kolej Antarabangsa Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

Demi mencapai sasaran itu ujarnya, infrastruktur dan kemudahan di kawasan itu juga perlu dipertingkatkan seiring dengan peredaran masa.

“Datuk Johari sebagai ahli Kabinet akan terus berusaha memberi cahaya gemilang kepada kawasan ini .

“Insyallah beliau menyambut saranan agar kawasan ini diperindahkan dan kemudahan asas dinaikkan agar dapat dikenali hab pendidikan,” tambahnya.

Johari dalam masa yang sama, kata Affendi, berbangga IPB dapat bertahan selama 26 tahun untuk membolehkan anak-anak asnaf melanjutkan pendidikan di tahap diploma atau ijazah dalam bidang tertentu selain daripada Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) inisiatif daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Terkini pelajar yang menuntut di IPB adalah lebih 2,000 pelajar, manakala tahun lalu lebih 3,000 yang menuntut di institut tersebut. -MalaysiaGazette