Home Nasional Agong ingatkan pegawai muda proaktif rancang masa depan ATM

Agong ingatkan pegawai muda proaktif rancang masa depan ATM

Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengingatkan pegawai muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya proaktif dalam membantu merancang masa depan angkatan tentera, sesuai dengan perkembangan semasa.

Titah Seri Paduka, dengan ilmu yang telah diperoleh, pegawai muda ATM juga seharusnya mampu menyumbang ke arah pembentukan angkatan tentera yang lebih disegani serta bersedia meneruskan tradisi angkatan tentera yang sanggup berkorban mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

“Seperti mana yang kita ketahui, profesion ketenteraan merupakan satu kerjaya yang unik. Kerjaya ini menekankan dua elemen penting iaitu kemahiran ketenteraan dan juga kepakaran profesional dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains dan pengurusan yang strategik.

“Gabungan kedua-dua elemen ini akan memberi kesan kepada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Beta yakin dengan ilmu yang ada, saudara-saudari akan dapat menyumbang ke arah pembentukan angkatan tentera yang kredibel dan disegani,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia 2018 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Titah Sultan Muhammad V, sebagai seorang pegawai tentera yang berijazah, pegawai muda ATM juga diharap lebih berkemampuan untuk menghadapi cabaran kerjaya masa depan dengan penuh yakin serta semangat jati diri yang tinggi.

“Usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan ilmu ketenteraan harus diteruskan untuk membolehkan saudara-saudari sensitif dengan perkembangan teknologi pertahanan semasa,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan pegawai muda ATM untuk menjaga nilai peribadi dan akhlak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat.

Maruah dan imej angkatan tentera boleh terjejas akibat tindakan segelintir pegawai yang tidak bermoral dan tidak amanah, titah baginda.

Pada istiadat tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan watikah pentauliahan kepada 334 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan yang tamat latihan bagi tempoh empat hingga lima tahun, sepanjang pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. – MalaysiaGazette