KUALA LUMPUR – Salinan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu sudah boleh dimuat turun dari laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai hari ini.
Dengan kelulusan oleh Dewan Rakyat, perintah tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan untuk berkuat kuasa mulai 29 Mac lalu, selaras dengan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, salinan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018 boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my mulai hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, susulan daripada pewartaan perintah itu, pengemaskinian daerah-daerah mengundi telah dilaksanakan oleh SPR dan diwartakan pada 30 Mac 2018, berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (1) dan (2), Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19). – MalaysiaGazette