Home Nasional Sudah, jangan libatkan Najib dalam isu 1MDB – Hasan Ariffin

Sudah, jangan libatkan Najib dalam isu 1MDB – Hasan Ariffin

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin (tiga kanan) beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Pelancaran Jelajah Pendidikan Anak Rompin di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 31 MAC 2018.

ROMPIN – Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Ariffin menegaskan laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat secara konsensus.

Justeru katanya, pembangkang tidak perlu lagi mengaitkan Najib dengan tuduhan berhubung 1MDB kerana laporan berkenaan telah dipersetujui oleh semua ahli badan itu yang datang daripada pelbagai parti.

“Laporan PAC itu adalah laporan konsensus dan dipersetujui oleh semua ahli PAC bahawa tidak ada penglibatan (Najib),” katanya selepas melancarkan program Jelajah Pendidikan Anak Rompin di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin hari ini.

Najib dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 minggu lalu berkata, badan siasatan itu telah menyimpulkan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan mengenai dakwaan terhadap 1MDB.

“Saya telah memerintahkan supaya 1MDB disiasat oleh PAC, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Audit Negara.

“Ia menjadikan 1MDB sebagai badan yang paling banyak disiasat di negara kita. PAC juga mempunyai wakil dari pembangkang seperti Tan Seng Giaw dan Tony Pua dari DAP,” kata Najib.

Mengulas mengenai perkara itu, Hasan berkata, Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi PAC daripada DAP bersetuju dengan laporan tersebut.

Dalam laporan 106 muka surat itu, PAC menyangkal dakwaan bahawa Menteri Kewangan itu mencuri daripada syarikat tersebut.

“Tidak ada sebut (nama Datuk Seri Najib sebagai pencuri duit 1MDB), itu telah ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi PAC (Tan Seng Giaw),” kata beliau. – MalaysiaGazette