PARIS – Paris Saint Germain (PSG) bersedia untuk menjadikan Jan Oblak penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak dunia.
Selepas berbelanja besar untuk penyerang Neymar musim lalu, kelab gergasi Perancis itu kini dikatakan bersedia untuk mendapatkan penjaga gol dengan dana besar.
Laporan di Paris mendakwa PSG bersedia mengeluarkan dana berjumlah £88 juta (RM476 juta) untuk memenuhi klausa pelepasan penjaga gol Atletico Madrid itu.
Bagaimanapun, Chelsea dan Arsenal turut dikatakan sedang memantau pemain slovenia itu.
Musim lalu, PSG telah membelanjakan lebih £350 juta untuk Neymar dan Kylian Mbappe.
Fokus terlampau di bahagian serangan mengakibatkan pasukan terkaya Ligue 1 gagal memberi keutamaan pada bahagian pertahanan pasukan itu yang menyaksikan mereka tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah.
Oblak menyertai Atletico Madrid dari Benfica pada tahun 2014 dengan £12.7 juta.
Kini trend kesanggupan kelab Eropah melabur besar untuk pemain semakin tidak terkawal sejak dua musim lalu.
Setakat ini, Ederson dari Brazil merupakan penjaga gol yang berhijrah dari Benfica ke Manchester City dengan nilai perpindahan termahal di dunia £34.7 juta.
Gianluigi Buffon merupakan penjaga gol kedua termahal buat masa ini dengan nilai £32.6 juta daripada Parma FC disusuli David de Gea dari Manchester United yang berpindah dari Atletico Madrid dengan nilai £18.3 juta sahaja.
Sekali lagi Atletico Madrid menjadi kelab sasaran untuk pelaburan penjaga gol terbaik dari PSG.
PSG dijangka akan melakukan pembelian rekod dunia untuk Oblak pada akhir musim ini dan Oblak turut dikatakan bakal bersetuju untuk perpindahan yang akan menjamin gaji lumayan di Paris.- MalaysiaGazette