Home Utama Jangan jadi bekas pemimpin yang sanggup langgar prinsip sepakat dengan DAP

Jangan jadi bekas pemimpin yang sanggup langgar prinsip sepakat dengan DAP

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) menyampaikan sijil dan plak Anugerah Tokoh Kepimpinan Silat kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (dua kanan) pada Majlis Himpunan Raksasa Pesilat-Pesilat Negara 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2018.

GOMBAK – “Tetapi ada pula pemimpin yang sudah berusia 93 tahun telah sanggup melanggar prinsip dan janji janjinya sehingga menjadi seorang Melayu mudah lupa dan berpakat dengan DAP yang suatu ketika dahulu dibenci dan dimusuhi.”

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menekankan soal prinsip dan kesetiaan kepada semasa berucap pada Majlis Himpunan Raksasa Pesilat-Pesilat Negara 2018 di lapangan tanah Gombak, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Najib berkata, sebagai anggota kerajaan yakni prinsip kesetiaan dan wala sentiasa diterapkan yang bukan atas nama peribadi beliau tetapi sebagai pemimpin utama negara negara tercinta.

“Inilah salah satu prinsip keagungan yang kita taati dan insya Allah kejayaan dalam perjuangan dan kemenangan pilihan raya, kalau walak dan setia kita tidak akan bergaduh sesama sendiri.

“Tidak ada sikap seperti boikot, sabotaj atau menembak di kaki sendiri. Sebab itu demi kita mengharungi perjalanan yang penuh onak ranjau kita mesti membekalkan diri kita dengan nilai-nilai sejati yang dihayati pesilat kita. Sebab itulah kita diajar dengan nilai perjuangan dan disiplin yang tidak mudah menyerah kalah.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah kompleks Silat Negara sebagai mercu tanda kebanggaan negara dalam persilatan kebangsaan dan arena antarabangsa.

Beliau mahu menunaikan permintaan mendirikan kompleks Silat itu sebagai memartabatkan seni yang mewakili perjuangan Melayu atas nama agama, bangsa dan negara yang tidak terpisah sejak berzaman dahulu lagi.

Katanya, seni silat digunakan untuk,mendidik prinsip dan disiplin kerana ia adalah warisan yang perlu dipertahankan dan dimartabatkan sebaik-baiknya.

“Memang wajar dan sudah sampai masanya (kompleks silat) sebagai lambang silat seni pertahankan diri rasmi negara dan seharusnya dimartabatkan dan tidak boleh sekadar menjadi sebutan mulut.

“Saya sebagai pihak kerajaan bersetuju menyumbang kepada pembinaan kompleks dan lokasinya kita akan berunding supaya apa sahaja yang mampu untuk mengukuhkan dunia silat kita akan lakukan sedaya upaya.

“Saya juga fikirkan bantuan kepada pesilat mahaguru wajar disampaikan menerusi pesaka.Geran tahunan insyaallah akan saya luluskan kepada pesaka supaya ia mempunyai sumber kekuatan untuk terus berjuang dan pendekar kita akan lebih bersemangat,” katanya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) hadir pada Majlis Himpunan Raksasa Pesilat-Pesilat Negara 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2018.

Dalam perkembangan yang sama, Najib juga berkata beliau menganggap silat sebagai angkatan ketiga pertahanan negara yang boleh menyumbang perjuangan menegakkan kedaulatan keselamatan dan keamanan negara supaya terus dipertahankan.

Malah ujarnya, sememangnya prinsip dunia seni persilatan tidak terasing dengan prinsip yang harus rakyat amalkan dalam segala aspek kehidupan termasuk pertubuhan politik.

 

“Soalnya, siapa nak pertahankan dunia silat dan perjuangan itu, sebab itu saya meletakkan silat dekat dengan hati saya yang berterusan sejak zaman ayahanda Tun Abdul Razak lagi dan diperjuangkan sehingga hari ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette