SEPANGGAR – Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang akhir minggu depan, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini.
“Kemungkinannya, berdasarkan pengalaman kami (BN) sebelum ini, pelancaran manifesto BN dibuat selepas Parlimen dibubarkan. Itu dah jadi suatu tradisi.
“(Bagaimanapun) Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib akan mengamalkan kaedah yang sama (melancarkan manifesto selepas Parlimen dibubarkan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan raya dan perparitan di Sepanggar di sini.
Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata manifesto itu dijadual dilancarkan minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah 5 April.
“Ada seseorang memberitahu saya, tapi saya tidak dapat mengesahkannya. Anda (rakyat) boleh menjangkakan Parlimen akan dibubarkan minggu depan,” kata beliau.- BERNAMA