BEIJING – China mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas 128 import Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump meningkatkan duti ke atas import besi dan keluli pada awal bulan lalu.
Antara produk yang terlibat dengan kenaikan tarif itu termasuk daging babi dan wain.
Tindakan itu memberi kesan sebanyak AS$3 bilion import yang dikuatkuasa mulai Isnin.
Beijing berkata, tindakan itu merupakan satu bentuk perlindungan kepentingan dan keseimbangan kepada China yang rugi ekoran tindakan tarif Amerika Syarikat.
Sebelum ini, China berkata, pihaknya tidak mahu mewujudkan perang perdagangan tetapi tidak akan berdiam diri jika ekonominya terjejas.
Tetapi Trump mempertahankan bahawa perang perdagangan adalah baik, malah pihak-pihak berkuasa Amerika Syarikat mengumumkan untuk mensasarkan tarif melibatkan berbilion-bilion dolar ke atas import China.
Import aluminium dan daging babi beku akan tertakluk kepada tambahan tarif sebanyak 25 peratus, selain duti semasa.
Produk-produk makanan Amerika yang lain termasuk kekacang, buah-buahan segar dan kering, ginseng dan wain yang menyaksikan kenaikan 15 peratus.
Gegelung besi pula dijangka naik 15 peratus. – MalaysiaGazette