Home Nasional Fitnah PM: Satu komplot terancang pembangkang

Fitnah PM: Satu komplot terancang pembangkang

Presiden Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz (tiga kanan) bergambar bersama laporan polis terhadap Mariam Mokhtar yang dalam videonya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkomplot hendak menggulingkan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi Presiden Malaysia di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia ke atas individu bernama Mariam Mokhtar kerana percubaan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz, video yang dimuat naik 29 Mac lalu jelas mempunyai niat untuk menghasut rakyat dan dipercayai boleh membuat kacau ganggu kepada negara.

“Saya buat laporan polis mengenai satu video yang dimuat naik memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin menggulingkan Yang Dipertuan Agong. Bagi saya ia satu komplot terancang,” katanya di perkarangan Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Syed Imran yang turut mewakili Pertubuhan Maqasid Syariah membuat laporan itu sekitar jam 11 pagi menasihatkan agar rakyat di negara ini tidak mempercayai fitnah pembangkang.

Jelasnya, pelbagai isu tidak betul akan dikeluarkan pembangkang di ambang PRU-14 semata-mata untuk mengelirukan pengundi.

“Pembangkang hanya ingin membangkang, kerja mereka senang. Kerja kita keluarkan fakta untuk mereka bangkang sahaja, pembangkang punya harapan untuk tadbir negara dengan cara yang salah,” katanya lagi.

Dalam video berdurasi tiga minit 19 saat itu, Mariam mendakwa Najib mempunyai perancangan untuk menggulingkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) tidak lama lagi.

“Najib tidak akan menjadi PM kerana selepas PRU-14, dia akan menjadi Presiden Malaysia sepanjang hayat. Saya tidak bergurau dan ini bukan berita palsu,” kata Mariam. -MalaysiaGazette