KUALA LUMPUR – Dalam diam-diam, pelakon Cristina Suzanne selamat bernikah dengan pasangan pilihannya, semalam.
Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Cristina atau atau penuhnya Cristina Suzanne Stockstill, 33, apabila memuat naik foto hitam putih bersama suaminya dengan keterangan gambar ringkas, ‘310318’.
Perkongsian berkenaan bukan sekadar mendapat perhatian peminat dan pengikut laman sosialnya, malah rakan artis seperti Thanuja, Nadia Brian dan Deanna Yusof turut mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu itu.
Pelakon yang turut membintangi filem Kil, Jwanita, CEO dan Sejoli: Misi Cantas Cinta ini juga dilihat sempat membalas ucapan beberapa rakannya itu.
Difahamkan, lelaki yang berjaya menakluk hati Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2013 itu bernama M Faiz Zakaria dan berasal dari Johor.
Majlis berinai diadakan pada Jumaat lalu sebelum akad nikah yang berlangsung semalam.
Pernikahan ini bagaimanapun mengundang kejutan ramai kerana Cristina sebelum ini tidak pernah berkongsi kisah peribadi sejak putus tunang pada 2013 dengan seorang ahli perniagaan. – MalaysiaGazette