Home Ekonomi Mary Jardin perkenal produk kosmetik MJAC

Mary Jardin perkenal produk kosmetik MJAC

Produk Mary Jardin Artisan Cosmetic (MJAC) direka khas tanpa bahan kimia untuk golongan wanita.

KUALA LUMPUR  – Jenama rangkaian produk penjagaan dan kecantikan kulit, Mary Jardin melancarkan koleksi produk kosmetik Mary Jardin Artisan Cosmetic (MJAC) yang mengadunkan formulasi berasaskan bahan semulajadi.

Dua produk kosmetik adalah bedak asas, Mary Jardin Liquid Foundation dan Mary Jardin BB Cushion yang direka khas untuk wanita ingin bersolek cantik tetapi nampak semulajadi.

Pengasas Mary Jardin, Dr Maryam Aziz berkata, koleksi kosmetik MJAC ini mengetengahkan gaya solekan segar di samping memberikan kesan sapuan yang sempurna walaupun dengan kuantiti sedikit untuk membolehkan wanita cepat bersiap namun kekal tampil anggun persis solekan jurusolek profesional.

Beliau berkata, MJAC memiliki tekstur yang bebas minyak, sangat ringan dan lembut menyebabkan sapuannya tidak merekah, melekit atau bercapuk pada wajah.

Lebih istimewa jelas beliau, kosmetik itu mampu bertahan lama sehingga 12 jam serta sesuai untuk semua jenis kulit.

“MJAC menampilkan formulasi produk kosmetik berkualiti dan dijamin tahap keselamatan serta kebersihannya sekaligus memasarkan produk buatan tempatan bertaraf
global.

“Kami menggunakan bahan semula jadi premium bagi memastikan penjagaan kesihatan kulit sepanjang pemakaian produk kosmetik ini,” kata pada majlis pelancaran produk kosmetik MJAC di Shah Alam baru-baru ini.

Dr Maryam Aziz.

Dr. Maryam yang juga bekas doktor perubatan memberitahu, pemakaian produk MJAC dengan cara yang betul mampu mendapatkan hasil terbaik, sekali gus memberikan kulit kesan penutupan cela dan parut yang sempurna.

“Justeru saya menyasarkan dapat menjual 5,000 unit MJAC setiap bulan sepanjang tahun ini kerana kelebihan yang dimiliki selepas membuat kajian dan penyelidikan sejak enam bulan lalu.

“Setakat ini, jualan Mary Jardin mencecah RM1 juta dan sasaran itu mampu dicapai dipacu strategi pemasaran produk dan rangkaian produk baharu kosmetik Mary Jardin Artisan Cosmetic (MJAC) yang baru dilancarkan.

“Apatah lagi ia dijamin tidak mengandungi bahan kimia dan sesuai untuk digunakan oleh wanita di Malaysia. Kita tahu bahawa ramai pengeluar produk penjagaan kulit dan kecantikan tetapi kelainan yang ada pada MJAC ialah ia merupakan produk buatan tempatan bertaraf global,” katanya.

Maryam menambah, Mary Jardin mempunyai lima segmen iaitu kosmetik, penjagaan kulit, penjagaan badan, makanan tambahan yang mengandungi 14 rangkaian produk dan segmen fesyen (tudung).

Rangkaian produk MJAC memiliki tekstur yang bebas minyak, sangat ringan dan lembut.

Sehingga ini jelas beliau, pihaknya mempunyai 5,000 ejen termasuk di Malaysia, United Kingdom, Asia Barat, Australia, Brunei, Jepun dan Jordan.

“Mary Jardin merancang untuk membuka lima cawangan sendiri iaitu di Alor Setar; Kedah, Shah Alam; Selangor dan akan datang di Kelantan, Terengganu, dan Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan.

“Mary Jardin mahu menjadi peneraju produk penjagaan dan kecantikan kulit berasaskan bahan semula jadi, diformulasikan sendiri malah dikeluarkan di kilang sendiri yang terletak di Alor Setar, Kedah,” katanya.

Sementara itu, kesemua produk ini adalah mesra wuduk dan setiap satunya dijual pada harga RM90.10 untuk Mary Jardin Liquid Foundation dan RM68.90 untuk Mary Jardin BB Cushion.

Jenama Mary Jardin dikeluarkan oleh Jardin Beauty Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan dan kecantikan kulit berasaskan bahan semula jadi.

Majlis pelancaran koleksi produk kosmetik Mary Jardin Artisan Cosmetic (MJAC) diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.

Produk ini diformulasikan sendiri oleh pengasasnya, Maryam yang pernah bertugas sebagai doktor perubatan di klinik dan hospital kerajaan sebelum tekad berhenti kerja supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga berikutan kekangan tugas.

Beliau yang pernah berjinak-jinak dalam jualan suplemen kecantikan kemudian beralih ke bidang perniagaan dengan menghasilkan sendiri produk penjagaan kulit daripada bahan organik di dapur rumah sendiri.

Nama Mary diberikan sempena pengasas produk ini sendiri iaitu Dr Maryam, manakala Jardin bermaksud taman dalam bahasa Perancis. – MalaysiaGazette