SEREMBAN – Pakatan Harapan yang berdepan kesukaran pendaftaran sedang mempertimbangkan cadangan supaya Amanah dan PPBM menggunakan simbol PKR untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Nanyang Siang Pau melaporkan, strategi itu bukan sahaja menyelesaikan kemelut pendaftaran yang berlaku malahan dapat membolehkan dua parti tersebut ‘menumpang’ populariti PKR semasa pilihan raya.
Kegagalan pendaftaran Pakatan Harapan telah menyebabkan impian parti pembangkang untuk menggunakan logo sama semasa pilihan raya tidak kesampaian.
Walaupun Amanah dan PPBM boleh berkongsi simbol dengan PKR, namun DAP dijangka mengekalkan penggunaan logo roket yang sudah sinonim dengan parti itu.
Simbol roket bagaimanapun tidak sesuai digunakan Amanah dan PBBM di kawasan Melayu kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan sebaliknya.
“Logo PKR telah pun digunakan lebih 20 tahun dan PKR mempunyai pengaruh tertentu dalam masyarakat Melayu khususnya melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Gerakan Reformasi,” demikian lapor Nanyang Siang Pau.
Selain itu, aktivitis masyarakat, Maria Chin Abdullah juga dilapor akan menggunakan logo PKR untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette