Home Ekonomi TNB meterai kemudahan pembiayaan GBP120 juta

TNB meterai kemudahan pembiayaan GBP120 juta

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikatnya, Tenaga Wind Ventures UK Ltd. menandatangani kemudahan pembiayaan dengan Bayerische Landesbank (BayernLB) bernilai GBP120 juta (RM652.34 juta).

TNB dalam kenyataannya berkata, kemudahan itu adalah untuk membiayai 80 peratus kepentingan dalam dua syarikat tenaga diperbaharui di United Kingdom, GVO Wind Limited dan Bluemerang Capital Limited.

Kedua-dua syarikat tersebut diambil alih pada 28 Februari 2018.

Katanya, gabungan kedua-dua syarikat itu menjadikan Tenaga Wind Ventures sebagai pemilik terbesar portfolio Feed-in-Tariff merangkumi 53 operasi turbin angin lautan dengan gabungan kapasiti keseluruhan 26.1MW untuk kegunaan seluruh England, Scotland dan Wales.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, pembiayaan tersebut merupakan pencapaian penting kepada TNB.

“Ia merupakan langkah signifikan kepada TNB apabila kami terus mengembangkan operasi dalam sektor tenaga diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, TNB juga bangga memiliki BayernLB sebagai rakan kongsi dalam urusniaga ini dan tidak sabar untuk melihat lebih banyak pelaburan dalams sektor tenaga baharu pada masa akan datang. – MalaysiaGazette