Home Nasional Lebih 4,000 tajaan swasta di sekolah tahun lalu

Lebih 4,000 tajaan swasta di sekolah tahun lalu

P. Kamalanathan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,093 tajaan daripada syarikat swasta dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu Kementerian Pendidikan meningkatkan tahap pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negara direkodkan sepanjang tahun lepas.

Sebanyak 4,093 tajaan daripada syarikat swasta dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu Kementerian Pendidikan meningkatkan tahap pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negara direkodkan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan berkata, jumlah ini meningkat daripada tahun sebelumnya yang mencatatkan hanya 1,403 tajaan.

“Peningkatan ini amat menggalakkan…antara bantuan yang kita telah terima dari syarikat swasta yang melaksanakan CSR mereka ini adalah dari segi kewangan, material, fizikal, infrastruktur, kepakaran dan khidmat sosial, selain hartanah, makanan minuman, bantuan asas persekolahan dan sebagainya. Ini semua akan kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan jawab lisan menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang ingin tahu jumlah penglibatan syarikat swasta yang tampil membantu Kementerian Pendidikan melalui CSR bagi meningkatkan tahap pendidikan negara.

Kamalanathan berkata, kementerian sentiasa mengambil pendekatan terbuka dan menggalakkan penglibatan semua pihak dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan negara selaras anjakan kesembilan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta. – MalaysiaGazette