Home Nasional Penantian 24 tahun peneroka Felcra dapat pembelaan kerajaan Kedah

Penantian 24 tahun peneroka Felcra dapat pembelaan kerajaan Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menghadiri majlis Majlis Penyerahan Geran Tanah Bukit Selambau 1 dan 2 di Bukit Selambau, Kedah.

BUKIT SELAMBAU – Nasib seramai 232 peneroka di tanah rancangan Felcra di Bukit Selambau akhirnya mendapat pembelaan selepas kerajaan Kedah menunaikan penantian mereka selama 24 tahun untuk mendapat geran dan hak milik tanah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menghadiri majlis Majlis Penyerahan Geran Tanah Bukit Selambau 1 dan 2 di Bukit Selambau, Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pemberian geran tersebut adalah hasil usaha kerajaan negeri dengan kerjasama Felcra yang mahu membela nasib peneroka dan menunaikan janji-janji selama ini yang lama tertangguh.

“Mudah-mudahan dengan pemberian hak milik geran tanah peserta projek Felcra seramai 232 orang ini dapat menamatkan penantian yang sekian lama tertangguh.

“Penantian itu satu penyiksaan, oleh itu semasa saya menjadi Menteri Besar perkara pertama yang saya ambil langkah adalah menyelesaikan masalah permohonan tanah yang harus kita bagi kepada rakyat dan kepada orang ramai yang berhak mendapat geran tanah seluruh kedah,” kata beliau semasa Majlis Penyerahan Geran Tanah Bukit Selambau 1 dan 2 hari ini.

Setiap peneroka menerima kira-kira enam ekar tanah setiap orang.

Dengan pemberian geran tanah tersebut, Ahmad Bashah berharap dapat membantu peneroka menikmati hasil daripada tanaman yang mereka usahakan dan menambah lagi aktiviti pertanian mereka pada masa hadapan.

“Felcra akan tolong uruskan penoreh getah dan hasil keuntungan akan dapat kepada tuan-tuan dan puan-puan.

“Dan pastinya kita bangga kerana kita ada hak mungkin anak-anak kita mewarisi hak kita kini,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, turut hadir Ahli Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Belantek, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah yang juga EXCO Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan kerajaan Kedah. – MalaysiaGazette