Home Dunia Panggung wayang Arab Saudi dibuka 18 April ini

Panggung wayang Arab Saudi dibuka 18 April ini

Daerah Kewangan Raja Abdullah yang akan menempatkan panggung wayang pertama Arab Saudi yang dibuka pada 18 Julai ini. Foto Bloomberg

RIYADH – Panggung wayang pertama Arab Saudi dalam tempoh 35 tahun akan dibuka di ibu negara pada 18 April ini.

Pengumuman itu dibuat selepas pihak berkuasa mencapai persetujuan dengan AMC Entertainment Holdings (AMC) yang akan membuka sehingga 40 panggung wayang dalam tempoh lima tahun lagi.

Kerjasama itu membabitkan AMC dengan Dana Pelaburan Awam (PIF), dana kekayaaan berdaulat Arab Saudi.

Panggung wayang itu tidak akan mengasingkan antara kaum lelaki dan wanita bakal menayangkan  filem superhero Marvel, “Black Panther”.

Arab Saudi pernah mempunyai kemudahan panggung wayang pada tahun 1970an tetapi ditutup disebabkan oleh pengaruh Islam di rantau Arab ketika itu.

Bagaimanapun pada tahun lalu, Arab Saudi melonggarkan tindakannya sebagai sebahagian daripada reformasi ekonomi dan sosial yang diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Pawagam pertama AMC akan ditempatkan di Daerah Kewangan Raja Abdullah di sebuah bangunan yang pada asalnya mahu dijadikan ebuah dewan konsert simfoni, menurut Ketua Eksekutif AMC, Adam Aron.

Bahagian utama panggung wayang mempunyai kira-kira 500 kerusi kulit, orkestra dan balkoni serta tandas marmar, katanya.

Tiga lagi skrin akan ditambah pada pertengahan musim panas.

“Ia akan menjadi teater filem paling cantik di dunia,” kata Aron.

Kemudahan yang dibangunkan untuk populasi lebih daripada 32 juta yang majoriti di bawah usia 30 tahun, Arab Saudi mahu memiliki 350 panggung wayang dengan 2,500 skrin menjelang tahun 2030.

Tujuannya untuk menarik jualan tiket tahunan hampir AS$1 bilion.

“Kemudahan itu akan merangsang ekonomi tempatan dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah dalam huburan serta menyokong pekerjaan di Arab Saudi,” menurut Menteri Budaya dan Maklumat, Awwad Alawwad. – MalaysiaGazette