Sinchew Daily melaporkan, Kit Siang sendiri bertandang ke klinik Cheng Hau untuk memujuknya bertanding di Labis, tetapi pujukan itu tidak berhasil.
Cheng Hau sebaliknya lebih cenderung untuk mempertahankan kerusi Skudai dan mahu menjadi ADUN di situ untuk penggal ketiga.
Labis merupakan antara kubu MCA di Johor yang mahu dirampas DAP. Labis yang pernah sinonim dengan Datuk Seri Chua Soi Lek berjaya dipertahankan anaknya, Datuk Chua Tee Yong pada pilihan raya lalu.
DAP dalam usahanya untuk memperluaskan penguasaan di Johor telah mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong untuk berdepan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam.
Selain itu, DAP juga memindahkan seorang ADUN dari Selangor, Yeo Bee Yin untuk mempertahankan penguasaan DAP di Bakri, Johor.
Kengganan Cheng Hau untuk bertanding di Labis bagaimanapun menyebabkan pencaturan DAP di dua lagi kerusi Parlimen Johor iaitu Kulai dan Kluang terkandas.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menawarkan diri untuk berpindah dari Selangor ke Labis untuk membantu DAP menawan lebih banyak kerusi di Johor.
DAP bagaimanapun berpendapat Cheng Hau lebih sesuai untuk bertanding di Labis berbanding Gobind.
Gobind dikatakan patut dikekalkan di Lembah Klang kerana beliau sibuk dengan pelbagai kes mahkamah membabitkan pemimpin DAP.
Walau bagaimanapun, keengganan Cheng Hau untuk bertanding mungkin menyebabkan DAP meletak Gobind di Labis dalam usaha parti itu merobohkan kubu MCA di Johor.