Home Politik Tak yakin Tun M mansuhkan RUU Antiberita Tidak Benar

Tak yakin Tun M mansuhkan RUU Antiberita Tidak Benar

Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Janji bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memansuhkan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 sukar untuk diyakini, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mana tidaknya, Mahathir semasa memerintah paling banyak mengawal negara dengan menangkap musuh politiknya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tapi kini berjanji pula untuk memansuhkan undang-undang tersebut, kata Menteri Besar Kedah itu.

“Ketika Mahathir jadi perdana menteri selama 22 tahun, dia yang sekat macam-macam, bila tak berkuasa lagi, sekarang tak mahu ada kawalan pula. Berapa ramai pemimpin ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika itu, termasuk Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu,” beliau dipetik berkata.

Ahmad Bashah berkata, janji oleh Mahathir sukar diyakini, malah tidak menolak akan lebih banyak lagi sekatan baharu lagi akan diperkenalkan untuk menekan musuh politiknya.

“Rakyat perlu nilai, saya tak yakin dengan janji beliau mahu mansuhkan, mungkin tambah lagi adalah sekatan baharu jika beliau kembali berkuasa,” katanya.

Jelas beliau, pembangkang tidak perlu takut dengan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 jika mereka tidak menyebarkan berita palsu dan menfitnah mana-mana pihak untuk tujuan politik.

“Tak perlu takut jika kita tak sebar berita palsu, jika rasa takut bermakna merekalah penyebar berita palsu,” beliau dipetik berkata.

Jelasnya, pengenalan undang-undang itu kena pada masanya memandangkan terlalu banyak berita palsu tersebar dan ia kini sudah serius.

“RUU berkenaan dilaksana supaya tak timbul masalah kepada rakyat kerana kebelakangan ini terlalu banyak berita palsu dan cerita tak betul viral, termasuk tahap lebih serius seperti tuduhan palsu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette