Home Utama Makmal terbesar proses syabu guna anjing ganas tumpas

Makmal terbesar proses syabu guna anjing ganas tumpas

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) pada sidang akhbar mengenai kejayaan pihak polis IPK KL menumpaskan makmal proses syabu dalam satu serbuan di Brieckfields di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Sebuah bengkel perabut yang dijadikan makmal memproses dadah sintetik dikawal oleh empat ekor anjing di Brickfields berjaya dibongkar polis.

Bengkel memproses dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai RM10.46 juta itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira lima bulan di Taman Gembira.

Bagaimanapun, taktik mereka berjaya dihidu apabila sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields berjaya menahan seorang suspek pada 1 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan sekitar pukul 2 petang itu pihaknya mendapati premis itu telah dijadikan makmal haram untuk memproses dadah syabu.

“Semasa serbuan dia (suspek) duduk depan premis menjaga dengan anjing besar empat ekor dan apabila kita bawa anjing pengesan (K9) yang lebih besar, semua anjing sindiket dadah itu lari bertempiaran.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas dadah syabu mentah seberat 77.41 kilogram, serbuk Ephedrine (125.95KG) dan menemui lapan kompartmen yang digunakan untuk memproses bahan mentah sehingga dijadikan ais syabu.

“Turut dirampas bahan kimia Alkohol Iso Propyl Toluene, metanol, alat penimbang, penapis plastik, balang dan bikar kaca, lebih 6 dapur induksi elektrik dan dapur kukus elektrik,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Mazlan, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif syabu dan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula 2 hingga 8 April ini.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menunjukkan ketulan dadah jenis syabu pada sidang akhbar mengenai kejayaan pihak polis IPK KL menumpaskan makmal proses syabu dalam satu serbuan di Brieckfields di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 APRIL 2018

Menurut beliau, polis juga menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan kongsi gelap sambil menyifatkan ia rampasan makmal dadah terbesar bagi tahun 2018 pihaknya.

Sehubungan itu, katanya, polis juga sedang memburu beberapa orang suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket itu yang masih bebas selain menjejaki tempat sindiket mendapatkan bahan mentah syabu.

“Kita sudah ada senarai suspek itu, tindakan memburu dan tangkapan akan dilaksanakan. Cara dia berniaga syabu memang pandai, dia buat halus bersih syabunya sehingga nilainya tinggi iaitu sekilo sekitar RM70,000.

“Untuk makluman syabu bersih ini adalah menyasarkan klien golongan berada  dan kelas tinggi bukan orang tepi jalan kerana orang biasa tidak boleh beli, mesti orang ada wang.

“Lagi pun tempat kami serbu adalah setor penyimpanan barang lusuk seperti basikal buruk, perabot di hadapan premis. Kalau masuk dalam ada lapan kompartmen dia proses syabu itu sangat bersih dengan air suling supaya lebih berkualiti yang menyebabkan permintaan tinggi,” tegasnya.- MalaysiaGazette