Home Seni Hidup Qhaliq mengalah demi Dukun

Qhaliq mengalah demi Dukun

Pengarah filem, Ahmad Idham (kanan) mengatakan sesuatu kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman (tengah) sambil diperhatikan penerbit, Hafiz Fauzi (dua kanan) selepas sidang media penarikan tayangan filem QHALIQ terbitan Ohhsem Network Sdn. Bhd di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur akur penarikan filem Qhaliq daripada tayangan hari ini kerana mahu memberi laluan kepada filem Dukun.

Pengarahnya, Khirudin Drahman@Hussaini berkata, pihaknya yang bertindak sebagai penasihat filem itu juga pada masa sama tidak mahu terdapat agenda lain yang boleh memalingkan kempen asal kesedaran bomba yang wujud di dalam filem ini.

“Atas perbincangan bersama, kami tidak mahu merosakkan agenda asal filem ini, jadi lebih baik tarik diri untuk dapatkan tarikh baru.

“Kami hanya bawa agenda nasional sebagai salah satu kempen bomba dan kalau Qhaliq dapat (tayang) dalam masa terdekat ia selaras dengan kempen kami ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir adalah Penerbit Eksekutif Qhaliq, Hafiz Fauzi dan pengedar filem itu, Ahmad Idham Nadzri.

Khirudin menambah, apatah lagi, Qhalif mempunyai mesej cukup jelas berkaitan kehidupan anggota bomba seperti semangat setia kawan, kekeluargaan, kecintaan dan cabaran yang dilalui mereka setiap hari.

Beliau berkata, pertembungan antara dua filem tempatan boleh menyebabkan penonton tempatan berpecah lantas mengakibatkan situasi kalah-menang berbanding menang-menang yang sepatutnya berlaku.

“Pada masa ini kempen kesedaran komuniti kebombaan akan diteruskan seperti biasa agar Qhaliq akan memberi impak yang maksimum.

“Saya juga mengakui pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah memberi kerjasama penuh di segi teknikal dan khidmat nasihat kepada filem ini,” katanya.

Ditanya di segi tarikh tayangan yang dirasakan bersesuaian dengan tempoh kempen mereka, Khirudin berharap Qhaliq dapat ditayangkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang biarpun berdepan dengan kebarangkalian tindakan oleh Skim Wajib Tayang (SWT).

Ini kerana filem yang menarik diri daripada tarikh tayangan ditetapkan SWT perlu menanti tempoh enam bulan dan dikenakan penalti.

Sementara itu, penarikan tayangan filem terbitan Ohhsem Network Sdn. Bhd. itu disahkan melalui surat rasmi pada 4 April oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan SWT. – MalaysiaGazette