Home Nasional Persidangan Dewan Negara ditangguh

Persidangan Dewan Negara ditangguh

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat pertama Dewan Negara bagi penggal keenam, Parlimen ke-13 yang bersidang sejak 26 Mac lepas ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran ketika mengumumkan penangguhan persidangan tersebut bagaimanapun meminta anggota Dewan Negara supaya tidak sesekali berhenti daripada terus menabur jasa kepada negara.

Mesyuarat itu mungkin menjadi yang terakhir untuk penggal Parlimen ke-13 yang tamat pada 24 Jun. Parlimen dijangka dibubarkan dalam masa terdekat untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan.

“Kita berada di ambang PRU14 di mana kematangan sistem demokrasi teruji semula di negara kita, pilihan raya membawa makna yang istimewa di Parlimen kita kerana ia merupakan tonggak utama pemerintahan berdemokrasi.

“Sehubungan itu, ingin saya menyeru kepada Yang Berhormat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya ini untuk sama-sama menyuburkan sistem demokrasi di negara ini,” katanya.- BERNAMA