KUALA LUMPUR – Selepas berjaya menepati 90 peratus daripada janji-janji dalam manifesto 2013 lalu, Barisan Nasional (BN) akan terus memberikan banyak lagi kepada rakyat dalam manifesto terbaharunya malam esok.
Menurut Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Raof Yusof, manifesto ini akan lebih menumpukan kepada keperluan rakyat yang menjadi tunjang kepada pemilihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
“Banyak mukasurat dalam manifesto dan banyak benda yang akan menggembirakan rakyat dalam menunggu PRU14 dan melihat kepada lima tahun akan datang.
“Mandat yang akan diberi nanti akan lebih cemerlang di bawah pentadbiran UMNO dan BN,” katanya selepas meninjau persiapan dalam melancarkan Manifesto peringkat nasional di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pelancaran manifesto BN itu akan dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak di Stadium Axiata Arena bermula 8.30 malam esok dengan kehadiran kepimpinan parti, antaranya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kesemua 13 presiden parti komponen.
Ujarnya, manifesto yang akan dibentangkan esok merupakan manifesto yang memikirkan masa depan rakyat dan merupakan sebuah janji yang akan ditepati.
“Bukan sebagaimana manifesto yang dibentangkan pembangkang yang memikir kepentingan peribadi.
“Kita adalah kerajaan yang melihat jauh ke hadapan manifesto tahun 2013 telah berjaya menepati pilihan rakyat dan dilaksanakan dengan baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pengurusan dan mandat yang diberikan daripada tahun 2013 sehingga hari ini,” kata Raof.
Untuk rekod, pada PRU-13, Najib melancarkan manifesto BN di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 6 April 2013, iaitu 28 hari sebelum hari mengundi.
Manakala pada PRU-12, pelancaran manifesto BN dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di PWTC, pada 28 Februari 2008, 11 hari sebelum mengundi. – MalaysiaGazette