Home Politik Jentera Pas lebih digeruni berbanding PH di Kedah

Jentera Pas lebih digeruni berbanding PH di Kedah

ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob melawat pengundi masyarakat India di Ladang Bukit Jenun, Pendang.

ALOR SETAR – Jentera Pas dilihat memberi ancaman lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) di Kedah berbanding blok pembangkang, Pakatan Harapan pada pilihan raya nanti, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob.

Suraya yang juga ADUN Sungai Tiang berkata, jentera akar umbi parti Islam tersebut agresif masuk ke kampung-kampung berkempen dan mereka merupakan pesaing utama kepada BN khususnya di Kedah.

“Jentera Pas perlu dihormati kerana mereka masuk ke kampung-kampung dan membawa doktor bersama untuk merawat penduduk-penduduk kampung.

“Berbanding PPBM atau Pakatan, mereka tidak ada apa sangat kerana mereka hanya serang dan kemudiaan hilang tak tahu ke mana,” kata beliau semasa ditemui MalaysiaGazette.

Jelas Suraya, jentera Pas lebih berdedikasi dalam menjalankan kempen dan jentera Pakatan mahu pun PPBM pula jarang-jarang sekali turun untuk berjumpa rakyat di kawasan masing-masing.

“Mereka (PH) tidak ada jentera, mereka hanya orang-orang yang kecewa dan ini berbeza dengan pejuang sebenar dalam Pas,” ujarnya.

Bagi menghadapi jentera Pas, Suraya berkata, Wanita UMNO di Pendang dengan kekuatan 1,200 orang sudah bersedia untuk turun berkempen dan menangkis kempen yang dibawa pembangkang.

“Kami di sini memiliki 1,200 jentera wanita di Pendang sahaja, ini satu jumlah yang besar dan bersiap sedia untuk menangkis kempen pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, Suraya menjangka saingan lawan pada pilihan raya kali ini sengit memandangkan pembangkang bijak memanipulasi dan memainkan persepsi dalam kalangan rakyat untuk menghasut mereka menolak kerajaan.

“Kali ini pilihan raya agak mencabar dan BN akan berdepan sengit khususnya di Kedah ini… pembangkang bijak memanipulasi dan memainkan persepsi di kalangan rakyat untuk mempengaruhi rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette