KUALA LUMPUR – Penduduk Cameron Highlands yang mewakili pelbagai kelompok masyarakat tetap mahu Datuk Seri M. Kayveas sebagai calon Barisan Nasional (BN) di parlimen mereka pada PRU-14.
Bagi mereka, Presiden myPPP sudah terbukti sebagai pembela suara mereka yang menetap di kawasan tanah tinggi peranginan popular itu sejak beberapa tahun lepas.
Mereka yang terdiri daripada wakil-wakil persatuan penduduk, rumah ibadat, pekebun dan peniaga besepakat menggesa pucuk pimpinan BN meletakkan Kayveas sebagai calon..
Menurut mereka, pemimpin komponen BN itu telah membela nasib mereka termasuk menggunakan wang daripada poketnya sendiri.
“Kami menzahirkan sokongan mahu Kayveas bertanding dan menang untuk membela nasib kami kerana beliau sangat memahami permasalahan penduduk di sini.
“Sejak tahun 2015 lagi, beliau sudah mula turun padang mendekati masalah kami yang dihadapi setiap hari tanpa mengenal erti kepenatan walaupun lewat malam,” kata wakil gabungan NGO Cameron Highlands, Harvinder Singh dalam satu kenyataan semalam.
Selain harvinder, kenyataan bersama yang turut ditandatangani oleh wakil pekebun, Dwin Tang; wakil Tok Batin Orang Asli Sungai Tiang, Wahab Mat; wakil Tok Batin Sungai Ruil, Bahau Bahran dan wakil belia, M. Sathurmugan.
Baru-baru ini mereka berkumpul beramai-ramai bagi menyatakan sokongan kepada Kayveas pada Majlis Santai Cameron Highlands.
Pada majlis itu, mereka membawa kain rentang dan plakad tertera ‘Calon P78 Pilihan Kami Tan Sri M. Kayveas’, ‘Only Tan Sri Kayveas for P078’ dan ‘We Want BN, We Want Kayveas in P078.
Malah mereka juga mendakwa majoriti penduduk tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asli sudah menerima Kayveas berbanding calon lain yang tidak dikenali.
Lagi pun, Kayveas merupakan anak jati Cameron Highlands dan ia satu faktor penarik kepada pengundi yang selama ini diwakili orang luar.
“Kayveas wakil rakyat tepat kepada kami jika benar BN mahu calon yang berkualiti dia boleh menang dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat.
“Beliau ikhlas membantu kami berbanding wakil rakyat yang ‘menghilangkan diri’ selepas menang dan hanya muncul bermusim setiap lima tahun sahaja,” kata Harvinder merujuk kepada bekas wakil rakyat lepas, Datuk Seri G. Palanivel.
Justeru, katanya, mereka mahu menzahirkan sokongan penuh supaya Kayveas dipilih kerana yakin pemimpin myPPP itu dapat menjaga mereka.
Sebelum itu, kerusi Parlimen Cameron Highlands menjadi kontroversi kerana menjadi rebutan antara myPPP dan MIC yang menamakan ketua pemudanya, Datuk C. Sivarraajh.- MalaysiaGazette
Kayveas: Sudah jelas, saya calon untuk Parlimen Cameron