Home Utama Sistem meritokrasi zaman Tun M terbukti gagal – PM

Sistem meritokrasi zaman Tun M terbukti gagal – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam bergambar kenangan bersama penerima-penerima Skim Pelaburan Khas Masyarakat India B40 pada pelancaran skim tersebut di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Sistem meritokrasi yang menjadi dasar bekas pemimpin negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu terbukti gagal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perlaksanaan sistem itu menyebabkan kesan ketara kejatuhan kemasukan pelajar India ke universiti awam.

“Pelaksanaan tujuh peratus menerusi sistem meritokrasi membawa kesan yang sangat ketara di mana kemasukan pelajar India jatuh dari tujuh kepada empat peratus.

“Kalau sistem kuota kita dapat menjamin kemasukan pelajar India dengan berkesan.

“Sebab itulah saya mengambil pendekatan menyemak semula dasar yang dilaksanakan oleh bekas pemimpin itu untuk mencari jalan tingkatkan peluang pelajar India masuk UA dan meluluskan 1,500 tempat sebelum ini.

“Kali ini tambahan 700 lagi tempat dipersetujui demi masa depan anak-anak India supaya tidak tenggelam dalam arus transformasi pendidikan negara,” katanya semasa melancarkan Skim Pelaburan Khas Masyarakat India golongan B40 di Pantai Dalam di sini hari ini.

Najib berkata kabinet baru-baru ini telah meluluskan 700 pengambilan tambahan pelajar India untuk mengikuti program matrikulasi di universiti awam di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, ia merupakan salah satu keputusan kerajaan dalam masa terdekat ini untuk meningkatkan jumlah penyertaan anak-anak masyarakat India dalam pendidikan tinggi selepas ini.

“Yakin dalam masa tak lama lagi masyarakat India bolehlah penyertaan pelajar masyarakat India mencapai 7 atau 7.5 peratus dan inilah harapan saya bukannya sekadar janji kosong.

“Saya selaku pemimpin suka menepati janji serta kata-kata kepada komuniti India,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, beliau sentiasa peka dengan segala tuntutan pemimpin dan masyarakat India yang mahu pengambilan pelajar India di universiti awam perlu dipertingkatkan.- MalaysiaGazette