KUALA LUMPUR- Selayaknya digelar anak emas Perdana Menteri, warga merupakan antara penerima manfaat terbanyak di dalam Manifesto Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-14.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelbagai insentif kepada warga Felda bagi meringankan beban mereka dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan taraf hidup serta keselesaan bagi para peneroka.
Warga Felda dijanjikan insentif khas sebanyak RM5,000 selain diberikan geran khas tanaman semula sebanyak RM7,500 sehektar bagi setiap peneroka yang layak selama lima tahun bermula 2018.
Pemberian geran ini dapat mengurangkan hutang tanam semula peneroka sehingga 70 peratus.
Sebelum ini, hutang tanam semula merupakan isu yang sering menjadi rintihan peneroka apabila mereka terpaksa menanggung beban hutang yang terlalu banyak sejak sekian lama.
Selain hutang tanam semula, peneroka Felda juga dibelenggu oleh hutang pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) yang pada suatu ketika merupakan penyenaraian terbesar di dunia.
Dengan itu, Perdana Menteri mengumumkan pelupusan hutang pembelian saham FGV kepada semua peneroka Felda di samping dana peruntukan khas sebanyak RM300 juta untuk pelupusan hutang luar biasa atau ekstrem bagi peneroka yang layak untuk tempoh lima tahun bermula 2018.
Sekiranya Barisan Nasional terus diberi mandat untuk memerintah negara, insentif Felda 2.0 melalui 15 rancangan untuk tahun 2018 dan 2019 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi mewujudkan komuniti pintar dan ekonomi setempat yang lestari akan diperhebat.
Insentif ini menurut Najib akan diteruskan ke Rancangan Felda di seluruh negara dan akan memberi manfaat kepada peneroka dan generasi kedua yang bermastautin di Rancangan Felda.
Antara insentif lain yang dicadangkan Barisan Nasional di dalam manifesto kali ini akan menaiktaraf 422 kilometer (km) jalan di dalam kawasan Felda, menaiktaraf 491 km sistem pembentungan dan menambah lampu jalan di dalam kawasan penempatan Felda.
Sebuah pusat khidmat sehenti yang menempatkan pusat jagaan kanak-kanak dan pusat usahawan peneroka Felda di bawah kelolaan Gabungan Penerokawati Felda Malaysia akan diwujudkan di semua penempatan Felda.
Rumah komuniti Felda terutamanya untuk generasi kedua dan ketiga akan diperbanyakkan.
Selain itu, Barisan Nasional juga menurut Najib, komited untuk meneraju ikhtiar menentang diskriminasi dan kempen anti-minyak yang sedang berlaku di Eropah. – MalaysiaGazette