Home Nasional Bank khusus biayai perumahan mampu milik bakal ditubuhkan

Bank khusus biayai perumahan mampu milik bakal ditubuhkan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias (empat kiri) meluangkan masa dengan melawat pameran jualan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada Majlis Penutup ‘Ekspo Jualan Perumahan– Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera’ Edisi Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR- Penubuhan sebuah bank khusus untuk memberi kemudahan pinjaman perumahan mampu milik dan perumahan kos rendah berharga RM300,000 ke bawah merupakan antara manifesto Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Selain itu, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berjanji akan mewujudkan sebuah entiti tunggal untuk menyelaras keseluruhan inisiatif-inisiatif perumahan mampu milik termasuk yang berkaitan pemantauan pembinaan.

“Iltizam kami adalah agar setiap keluarga mampu tinggal dalam rumah yang selesa sama ada secara milik sendiri atau menyewa.

“Sejak 2011, kami telah memperkenalkan pelbagai program dan skim bagi menjayakan hasrat ini seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Rumah Idaman Rakyat, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Skim Rumah Pertamaku dan Skim MyDeposit.

“Inisiatif-inisiatif perumahan negara merangkumi tetapi tidak terhad kepada pembinaan rumah mampu milik, menggalakkan ekosistem penyewaan rumah berpatutan dan meneraju pemilikan rumah secara sewa-untuk-beli,” katanya ketika melancarkan Manifesto Barisan Nasional di sini malam tadi.

Barisan Nasional juga merancang untuk membangunkan kuarters, bangunan dan tanah kerajaan yang tidak digunakan secara optimum untuk membina rumah mampu milik dan pembangunan bercampur-campur.

Begitu juga dengan tanah rizab Melayu, wakaf dan baitumal yang terbiar akan dibangunkan dengan lebih banyak projek perumahan mampu milik dan kos rendah.

Barisan Nasional juga berjanji untuk membina semula perumahan rakyat dan perumahan kos rendah berusia lebih 20 tahun dengan menggunakan teknologi hijau dan konsep moden.

Bagi menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai, Barisan Nasional berjanji untuk memperluaskan kuasa kerajaan dari had asal RM70,000 kepada RM120,000.

“Ini akan membabitkan 21 projek terbengkalai dan 2,794 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM123 juta,” katanya.

Rumah panjang di Sarawak, rumah air di Sabah, rumah Orang Asli dan rumah pekerja estet di semenanjung akan dinaik taraf sekiranya Barisan Nasional sekali lagi diberi mandat oleh rakyat dalam PRU kali ini, kata Najib.

Kuota sebanyak 10,000 unit diberikan kepada anggota polis untuk memiliki PPA1M.

Dalam pada itu, pesara kerajaan dan anak-anak mereka diberi peluang untuk membeli unit PPA1M yang berharga antara RM150,000 hingga RM300,000.

Berikut adalah insentif lain yang dijanjikan Barisan Nasional dalam manifestonya bagi meneruskan membantu rakyat tinggal di kediaman yang lebih selesa:-

  • Menyediakan insentif cukai atau dana pembangunan bagi menggalakkan bank dan pemaju perumahan untuk menawarkan skim sewa-untuk-beli.

  • Menyediakan Skim Bantuan Sewa Perumahan Awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya.

  • Melanjutkan tempoh pengecualian duti setem untuk projek perumahan terbengkalai yang sedang berada dalam proses pemulihan.

  • Menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia untuk memberi kemudahan kepada belia yang baru memasuki alam pekerjaan.

  • Meningkatkan kapasiti Program Bantuan Rumah yang bertujuan membaiki rumah-rumah daif di kawasan-kawasan luar bandar.

  • Menyediakan dana khas untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk tujuan penyelenggaraan bangunan berstrata.

  • Meningkatkan had tuntutan di bawah kuasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) daripada RM50,000 kepada RM100,000.

  • Membantu pembeli-pembeli 50,000 unit rumah yang menjadi mangsa kepada pemaju perumahan tidak berlesen.

  • Mewajibkan Indeks Prestasi Utama (KPI) ke atas pembinaan Rumah Mampu Milik oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan yang mendapat pelaburan Kerajaan.

  • Mengkaji semula struktur caj utiliti yang dikenakan oleh Telekom, Indah Water dan Tenaga Nasional Berhad ke atas pemaju perumahan untuk mengurangkan kos pembinaan rumah.

  • Menubuhkan tribunal penyelesaian konflik untuk meleraikan sebarang pertikaian membabitkan isu perumahan awam.

  • Melancarkan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) bertujuan untuk mengawal selia, mengurus isu-isu perumahan awam dari segi kualiti perumahan, keperluan semasa dan menentukan kelayakan menduduki.

  • Menamatkan polisi diskaun lot Bumiputera untuk hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas. – MalaysiaGazette