Home Sukan Zaidatul Husniah mara ke separuh akhir 100m wanita di CG2018

Zaidatul Husniah mara ke separuh akhir 100m wanita di CG2018

GOLD COAST – Atlet olahraga negara, Zaidatul Husniah Zulkifli membuktikan keupayaannya dengan layak ke pusingan separuh akhir acara 100m Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Lebih manis kejayaan Zaidatul Husniah itu dilakukan selepas 20 tahun tiada atlet negara yang mampu berbuat demikian. Kali terakhir atlet negara layak ke separuh akhir acara itu adalah pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur melalui G.Shanti.

Atlet berusia 25 berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu berada pada kedudukan ketiga dalam saringan kelima dengan catatan masa 11.64s di Carrara Sports and Leisure Stadium, hari ini.

Tiga terbaik dalam setiap saringan dan enam terpantas akan mara ke saingan separuh akhir, pada pukul 5 petang ini (waktu tempatan).

Zaidatul Husniah bagaimanpun gagal memperbaharui rekod peribadinya iaitu 11.62s yang dilakukan pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur 2017 (KL2017). – Bernama