KUALA LUMPUR – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menggesa supaya hanya calon-calon yang memiliki kewibawaan serta kredibiliti tinggi untuk bertading atau dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
GPS yang mengadakan ‘Himpunan Pengundi Sedar’ dengan kehadiran seramai 300 orang sebentar tadi di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru.
Menurut Pengarah GPS, Asmadi Abd Samad, objektif utama perhimpunan ini adalah untuk menyampaikan mesej agar hanya calon berkelayakan untuk bertanding.
“Kita mahu calon berwibawa, mempunyai kredibiliti agar survival Islam dan Melayu dapat terus dipertahankan selamanya.
“Dengan slogan kita, ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ sebagai panduan pengundi bagi mengundi pemimpin yang betul dan tepat pada PRU kali ini.
“Sebagai generasi muda, kita mempunyai kelebihan dan keutamaan bagi menentukan pemimpin yang benar-benar mempunyai kewibawaan serta kredibiliti bagi masa depan untuk semua,” katanya.
Tambah Asmadi, dalam arena politik, hanya yang benar-benar mempunyai kewibawaan tinggi akan menunaikan tanggungjawab dengan iklhas demi tanahair dan juga agama Islam.
“Kita banyak pemimpin tetapi tidak semua yang mempunyai wibawa terutamanya dalam memastikan survival Islam dan Melayu terus terbela dan terjaga. Kami dari GPS mahu calon benar-benar berkelayakan,” tegasnya.
Himpunan anjuran bersama Pemuda Isma ini mengangkat slogan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ sebagai panduan kepada para pengundi bagi memastikan survival Islam dan Melayu tetap di pertahankan. – MalaysiaGazette