KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada parti politik di negara ini yang mampu untuk menegakkan syiar Islam sebagaimana yang dibawa oleh parti itu.
Menurut Hadi, Pas akan tetap berpegang teguh kepada pelaksanaan syiar Islam yang selama ini diperjuangkan mereka.
“Kita yakin parti lain tidak berani bercakap mengenai Islam sebagaimana yang dibawa Pas. Kita yakin dengan kelebihan itu dan perjuangan kita dalam Islam, tidak akan berganjak dan terbuka dengan konsep Islam,” katanya dalam Amanat Khas kepada jentera pilihan raya, secara langsung di Facebook beliau hari ini.
Malah katanya, parti pembangkang seperti DAP secara terang-terangan menolak Islam membuatkan Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada 2015.
“Apabila kita dapati agenda Pakatan Rakyat (PR) tidak menepati ajaran Islam samada dalamnya yang menentang Islam secara nyata dan terang, seperti DAP.
“Ada kalangan yang tidak tegas menyatakan sokongan terhadap Islam dan memaksa Pas mengadakan gagasan sendiri,” katanya lagi.
Gagasan Sejahtera dibentuk Pas bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia, BERJASA, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Harapan Malaysia (PHM) setelah terkuburnya PR.
“Menubuhkan Gagasan Sejahtera yang menghimpunkan bukan sahaja ahli Pas yang setia dan taat, termasuklah bukan Islam dan parti politik yang tidak menentang ajaran Islam.
Dalam pada itu, Hadi turut mengingatkan jentera parti itu untuk melakukan konsep “ribath” iaitu sanggup bersiap sedia untuk bertugas di mana-mana sahaja kawasan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) tidak lama lagi.
Konsep itu bagi memastikan Pas dapat bertanding di 130 buah kerusi dan dapat memastikan kelancaran impian Hadi tercapai.
“Sama ada jadi ketua, calon, pemimpin, anggota penerangan, jentera kempen, pengkibar bendera, tampal poster, jaga markas, ini yang dinamakan ribath. iaitu bertugas di tempat masing-masing, banyak hadis yang nyatakan kelebihan ribath.
“Kelebihan petugas ribath ini pahalanya berterusan sampai hari kiamat, tak ada kelebihan ini melainkan dalam perjuangan islam,” katanya. -MalaysiaGazette