PULAU PINANG – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubar esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan .
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau telah bertemu Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara pagi ini bagi mendapatkan persetujuan pembubaran DUN itu.
“Saya juga telah membuat syor yang serupa ketika mesyuarat Exco sebentar tadi yang mana perkara ini telah pun diluluskan sebulat suara.
“Surat pembubaran akan dihantar kepada Speaker DUN Pulau Pinang oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus hari ini juga untuk pembubaran esok,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu awal pagi ini, kenderaan rasmi Guan Eng yang ditemani Farizan dilihat tiba di kediaman Yang Dipertua Negeri di Seri Mutiara di sini kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum beredar kira-kira 45 minit kemudian.
Pada PRU-13, pembangkang membentuk kerajaan negeri selepas DAP memenangi 19 kerusi DUN; PKR (10), PAS (satu) manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 10 daripada 40 kerusi dipertandingkan.
Bagi kerusi Parlimen pula, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga). – MalaysiaGazette