Home Utama Tan Seng Giaw digugurkan dari Kepong

Tan Seng Giaw digugurkan dari Kepong

Dr. Tan Seng Giaw

PETALING JAYA – Anggota Parlimen DAP kawasan Kepong selama lapan penggal Dr Tan Seng Giaw, tidak disenaraikan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tan, 75, yang menjadi Anggota Parlimen Kepong sejak 1982, digantikan Lim Lip Eng, yang sejak dua penggal lalu menjadi Anggota Parlimen Segambut.

Lim pula digantikan Hannah Yeoh yang berpindah daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kawasan Subang Jaya, yang dimenanginya dalam dua PRU lepas.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semasa berucap pada taklimat khas pilihan raya kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, tiga lagi calon – Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Teresa Kok (Seputeh) akan mempertahankan kawasan Parlimen yang mereka menangi sebelum ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu, bagi memberi laluan kepada PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengadakan Mesyuarat Khas esok, bagi membincangkan urusan PRU14.

— BERNAMA