Home Utama Sudah jangka nama digugurkan – Seng Giaw

Sudah jangka nama digugurkan – Seng Giaw

Orang yang menggelar saya anjing itulah anjing sebenarnya, kata Dr. Tan Seng Giaw, penyandang Parlimen, Kepong.
Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, semua warga Malaysia termasuk para pemimpin perlu mempunyai rasa sayang dan cintakan negara pada tahap tertinggi.

KUALA LUMPUR – Dr. Tan Seng Giaw tidak terkejut apabila namanya digugurkan daripada terus mempertahankan kedudukannya di kerusi Parlimen Kepong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, Seng Giaw berkata, perkara tersebut sudah dijangkakan kerana kerusi itu memang sudah ‘dikacau’ sejak beberapa tahun lalu.

Oleh sebab itu, beliau sudah memaklumkan kepada para penyokongnya supaya bersedia untuk menerima keputusan sekira namanya digugurkan pada PRU14.

“Saya tidak kecewa, kesal pun tidak ada, apatah lagi marah. Buat apa hendak ada perasaan sedemikian kerana biasanya jika kita tidak dicalon atau dicadangkan, maknanya parti ada nama yang lebih sesuai.

“Dalam politik ini, apabila nama dicalonkan, mungkin individu yang dicalonkan ikut cakap orang yang berkuasa.

“Orang yang berkuasa pula bukan mengambil kira pandangan atau sokongan penyokong-penyokong,” katanya dengan penuh bermakna.

Semalam, DAP mengumumkan untuk menggantikan Seng Giaw dengan penyandang Parlimen Segambut selama dua penggal, Lim Lip Eng.

Seng Giaw, 75, menduduki kerusi Parlimen Kepong sejak tahun 1982 selepas menyertai DAP pada tahun 1972.

Ditanya sama ada pengundi Kepong sudah bersedia untuk menerima ‘orang baru’, doktor kulit itu berkata, terpulanglah kepada pengundi-pengundi.

Malah, beliau tidak akan membuat apa-apa pesanan kepada pengundi-pengundi Kepong.

“Biarlah mereka (pengundi) buat keputusan kerana selama ini saya memang tidak pernah mempengaruhi pengundi-pengundi.

“Saya di Kepong selama lapan penggal hanya berkhidmat bukan pengaruhi pengundi untuk memilih parti pemerintah atau pemimpin. Itu hak rakyat dan demokrasi sebenar,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara itu menambah, ada penyokong yang tidak boleh menerima keputusan DAP untuk meletakkan calon baru.

Ditanya sama ada beliau akan turun padang membantu Lip Eng, Seng Giaw berkata: “Saya tidak pernah memikirkannya”. – MalaysiaGazette