Home Nasional Manifesto BN pada PRU14 adalah futuristik – Mahdzir

Manifesto BN pada PRU14 adalah futuristik – Mahdzir

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada majlis Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai futuristik untuk bidang pendidikan pada masa depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana manifesto itu relevan untuk masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

“Inisiatif bidang pendidikan yang diumumkan dalam Manifesto BN adalah futuristik untuk masa depan.

“Untuk keseluruhan bagi negara yang majmuk dan berbilang kaum, kita mengambil kira perkara berkaitan yang disebut oleh Perdana Menteri iaitu bukan yang statik dan boleh berubah.

“Dan ada usaha untuk mempertingkatkan dan melakukan pembaikan sistem selain bilik  guru dan sekolah yang dalam proses menjadi lebih menarik dan kondusif pada masa akan datang,” katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meluangkan masa berswafoto bersama sebahagian pengetua sekolah yang hadir pada Majlis Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2018

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57 di sini hari ini.

Mengulas Manifesto BN untuk mempertingkat kemahiran Bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa (DLP), Program Imersif Tinggi (HIP) dan memperkenalkan sekolah beraliran Bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis, Mahdzir berkata, inisiatif akan dilaksanakan terlebih dahulu di dua buah negeri sebelum diperluaskan di sekolah di Semenanjung.

“Kita terima dulu di Sabah dan Sarawak dan tengok macam mana di Semenanjung,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, selain inisiatif projek rintis itu, Manifesto BN turut menggariskan memahirkan 5 juta pelajar sekolah dengan kemahiran digital Revolusi Industri 4.0, menaiktaraf semua sekolah daif di seluruh negara dan memadankan pelajar universiti dan bakal majikan di bawah SL1M 2.0.

Pada masa sama, manifesto itu ingin melahirkan pekerja pembinaan berkemahiran tinggi, menaiktaraf Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menaikkan had Insentif untuk Skim Simpanan Pendidikan dan mengurangkan beban kerja pentadbiran para pendidik dengan peralatan lebih baik di bilik darjah.

Inisiatif lain pula adalah menambah jumlah subjek dalam Program Dwibahasa (DLP), mempertingkat kemahiran Bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa (DLP), menyediakan insentif khusus untuk mencipta khidmat pembelajaran dalam talian, memperluas pelaksanaan Program Anak Angkat bagi pengukuhan sosiobudaya dan membina serta menambah kapasiti asrama untuk pelajar-pelajar luar bandar. – MalaysiaGazette