PUTRAJAYA – Sidang media khas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di ibu pejabat badan itu berakhir dengan tanda tanya para media.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang memulakan sidang media tepat jam 12.15 tengahari tadi hanya membacakan kenyataan daripada SPR mengenai pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), tarikh penamaan calon dan pengundian awal.
“Bagi maksud menjalankan Pilihan Raya Umum ke 14 ini, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti berikut, tarikh keluar Writ adalah pada 11 April 2018, hari penamaan calon pada 28 April 2018, hari pengundian awal pada 5 Mei 2018 dan hari pembuangan undi adalah pada 9 Mei 2018,” katanya dalam sidang media tersebut.
Mohd Hashim sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi menetepkan tarikh berikut pada sesi pagi.
Selesai membacakan kenyataan media tersebut, Mohd Hashim hanya menyerahkan sejumlah surat pelantikan kepada beberapa pegawai yang akan mengetuai pasukan SPR di beberapa kawasan pada PRU14.
Justeru, beliau hanya berlalu pergi tanpa mengendahkan teriakan para wartawan dan pengamal media yang memanggil namanya untuk bertanyakan soalan.
“Tan Sri! Tan Sri!, mengapa hari pengundian dibuat pada hari bekerja. Ramai (pengundi) merungut dengan tarikh berkenaan? ” teriak para media yang mahu mendapatkan komen Mohd Hashim.
Tarikh 9 Mei ditetapkan SPR sebagai hari mengundi yang jatuh pada hari Rabu pada waktu hari bekerja dan hari pengundian awal jatuh pada 5 Mei, Ahad. -MalaysiaGazette