Home Ekonomi Bank Dunia naikkan unjuran ekonomi Asia 2018

Bank Dunia naikkan unjuran ekonomi Asia 2018

JAKARTA- Bank Dunia hari ini meningkatkan unjuran pertumbuhan bagi Asia Timur dan Pasifik pada tahun ini bagaimanapun katanya, negara-negara di rantau berkenaan perlu melaksanakan dasar monetari yang lebih ketat dan meletakkan penampan fiskal yang lebih besar bagi melindungi risiko jangka pendek.

Tambahnya, Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan negara-negara sedang membangun di rantau Asia Timur dan Pasifik termasuk China adalah 6.3 peratus pada 2018.

Ia naik sedikit berbanding unjuran sebelum ini iaitu 6.2 peratus.

Meskipun dengan prospek yang lebih cerah, Bank Dunia tetap menggesa kerajaan supaya mengenal pasti dan menangani risiko-risiko jangka pendek yang dikaitkan dengan peningkatan kadar faedah lebih daripada jangkaan yang dilakukan oleh negara-negara maju di samping ketegangan perdagangan yang semakin buruk.

“Bagi menangani risiko makroekonomi yang boleh menjejaskan kestabilan, negara-negara perlu mempertimbangkan untuk mengetatkan dasar monetari dan mengukuhkan lagi regulasi makro berhemah,” katanya sambil menambah ianya amat penting kepada negara-negara yang mempunyai kadar hutang yang tinggi atau pertumbuhan kredit yang cepat.

“Rantau Asia Timur dan Pasifik perlu menangani prospek pertumbuhan yang sederhana dalam jangka sederhana termasuk mengukuhkan integrasi perdagangan meskipun ancaman terhadap sektor itu sentiasa berterusan di peringkat global.

Ia mencadangkan supaya Komuniti Ekonomi Asean, Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Kerjasama Trans-Pasifik dan Insiatif Belt & Road China untuk menghadapi cabaran yang semakin meluas seperti teknologi penjimataan buruh dan automasi serta garisan kelabu di antara pengilangan dan perkhidmatan.

“Meningkatkan daya saing menjadi sangat penting kepada negara-negara di rantau berkenaan kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam landskap sedia ada dengan evolusi teknologi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette