MELAKA – Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mendakwa pihak pembangkang menganggap Melaka sebagai ‘kawasan pembuangan’ calon yang tiada harapan untuk menang dalam PRU-14.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, rakyat Melaka sejak sekian lama bijak menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan mereka dan rakyat Melaka tidak akan teragak-agak untuk menolak calon pembangkang terutama dari luar yang tidak mampu berkhidmat dengan baik.
“Pembangkang hantar ‘Tom, Dick and Harry’ datang ke sini mungkin kerana dia tahu Melaka ni tak ada peluang pada mereka. Jadi mereka hantar orang yang tiada harapan ini ke Melaka, ” katanya kepada pemberita selepas Program Bandaraya Penyayang Perdana bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Bandaraya Melaka Bersejarah di sini hari ini.
Idris berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal mengenai bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan yang dipecat parti iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dipercayai akan bertanding bagi kerusi Parlimen Jasin, dekat sini, pada PRU14.
“Saya yakin masyarakat Melaka akan menolak calon dari luar yang secara tiba-tiba muncul untuk bertanding di kawasan mereka kerana yakin pembangkang tidak mampu memberi jaminan sebagaimana dilakukan kerajaan BN sebelum ini,” katanya.-BERNAMA