KUALA LUMPUR – Caruman tahunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat sebanyak 6.38 peratus kepada RM65.52 bilion berbanding jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion pada tahun lalu, sekaligus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM16.12 bilion.
KWSP turut mencatatkan kenaikan 8.26 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM791.48 bilion, berbanding RM731.11 bilion pada tahun 2016.
Jumlah caruman ahli pula sebanyak RM768.51 bilion setakat 31 Disember 2017, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
KWSP sebelum ini mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional melibatkan agihan dividen RM44.15 bilion dan kadar dividen 6.40 peratus untuk Simpanan
Syariah melibatkan agihan dividen RM3.98 bilion.
Secara keseluruhannya, agihan dividen untuk tahun 2017 berjumlah RM48.13 bilion, naik 29.80 peratus daripada tahun 2016.
Jumlah permohonan pengeluaran meningkat 3.84 peratus kepada 2.45 juta, yang mana 2.32 juta permohonan diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion melalui pelbagai
skim pengeluaran.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, secara keseluruhannya, tahun 2017 merupakan tahun yang baik yang mana KWSP buat pertama kalinya
mengumumkan keputusan pelaburan dan kadar dividen bagi Simpanan Syariah.
KWSP mengakhiri tahun kewangan dengan mencatat pendapatan pelaburan kasar tertinggi dengan pulangan atas pelaburan kasar (ROI) sebanyak 7.30 peratus, peningkatan 18 mata asas
berbanding 2016.
“KWSP telah mencapai kemajuan besar dalam memenuhi keperluan ahli, dengan memperkenalkan lebih banyak penambahbaikan ke atas saluran dalam talian kami.
“Portal e-Caruman KWSP juga bakal mencapai kadar penggunaan 100 peratus dalam kalangan majikan, menunjukkan saluran dalam talian tersebut terbukti berkesan dalam membantu majikan mengemaskini butiran caruman pekerja dan membayar caruman dalam masa yang telah ditetapkan.
“KWSP mencatat prestasi keseluruhan yang kukuh melangkaui semua kelas aset dalam portfolio, dengan sebahagian besar di dorong oleh pelaburan dalam ekuiti global yang mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik,” katanya.
Setakat 31 Disember 2017, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM791.48 bilion dengan kelas aset ekuiti, yang merangkumi 42 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana RM31.47 bilion untuk tahun 2017.
Daripada pendapatan pelaburan kasar RM53.14 bilion yang dijana untuk tahun tersebut, lebih daripada 40 peratus pendapatan disumbangkan oleh pelaburan luar negara KWSP yang
merangkumi kurang daripada 28 peratus daripada portfolio pelaburannya. – MalaysiaGazette