PULAU PINANG – Gerakan Pulau Pinang masih buntu dalam perbincangan dengan pusat berhubung calon untuk beberapa kawasan yang akan dipertandingkan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Guang Ming Daily melaporkan, jawatan penyelaras untuk kerusi Parlimen Jelutong dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya juga tidak dapat dipersetujui.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow pernah memberitahu bahawa nama untuk penyelaras akan diumumkan pada Oktober, tetapi perkara itu masih tidak dapat dipersetujui walaupun nama sudah diserahkan kepada pusat.
Sumber memberitahu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong telah mencampur tangan untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku tetapi masih gagal mencari jalan pendamaian antara ‘puak pusat’ dengan ‘puak tempatan’.
Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dr. Thor Teong Gee yang dilihat daripada ‘puak pusat’ pada Ogos lalu telah mengumumkan perletakan semua jawatan parti berikutan isu jawatan penyeras DUN Sungai Pinang yang juga dalam kawasan Parlimen Jelutong.
Beberapa pemimpin Gerakan termasuk Pengerusi Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Baljit Singh turut mengutuk Chang Yeow secara terbuka, menjadikan konflik dalaman Gerakan Pulau Pinang sudah terang lagi bersuluh.