PETALING JAYA – Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, peluang untuk Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu untuk memenangi kerusi Parlimen Kota Raja tipis memandangkan beliau pernah kalah beberapa kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Ujarnya, Pas berpendapat di mana pun Mohamad Sabu bertanding pastinya keputusan sama akan dilihat nanti biarpun beliau sudah meninggalkan Pas.
“Peluang untuk Mat Sabu menang tidak ada. Selepas dia keluar daripada Kuala Kedah, sepanjang PRU lepas itu dia kalah. Di Kuala Terengganu, ke Pendang pun dia boleh kalah, itu kubu kuat Pas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam program Agenda Ekonomi Bumiputera: Siapa lebih juara di Damansara Perdana hari ini.
Program anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) itu dihadiri bekas exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Tun Faisal Ismail dan ahli seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Marzuki Mohamad.
Media sebelum ini melaporkan Mohamad Sabu atau Mat Sabu akan bertanding di kerusi selamat PAN iaitu di Kota Raja pada PRU14, 9 Mei depan.
PAN sebelum ini diperuntukkan lima kerusi Parlimen di Selangor antaranya Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat.
Ditanya siapa yang akan menentang Mat Sabu di Kota Raja, Zuhdi berkata, senarai calon sudah dimuktamadkan dan ada beberapa kriteria yang diambil kira dalam menempatkan calon di kawasan itu antaranya faktor pengalaman calon tersebut dalam politik.
“Dari segi kelantangan dia, kemudian kematangan dan pengalaman beliau dalam politik,” katanya.
Dalam pada itu, Zuhdi berkata, desas desus yang menyatakan Pas akan meletakan penceramah terkenal Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani sebagai calon di Shah Alam, belum ada kata putus.
“Belum tentu lagi Ustaz Ahmad Dusuki, kita tidak ada kata putus lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette