Home Dunia Mesir lanjut perintah berkurung

Mesir lanjut perintah berkurung

Pasukan keselamatan Mesir mengawal pintu masuk negara itu berikutan lanjutan perintah berkurung. foto Agensi

KAHERAH – Mesir melanjutkan perintah darurat untuk tempoh tiga bulan lagi mulai 14 April ini.

Negara itu mengenakan perintah darurat pada April tahun lalu selepas dua gereja dibom dan mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang.

Perintah itu kemudian dilanjutkan pada Julai dan sekali lagi Oktober dan Januari.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengeluarkan dikri itu pada hari Sabtu untuk melanjutkan perintah berkurung yang dijalankan bagi deklarasi baharu.

Lanjutan terkini itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah sepatutnya untuk berdepan dengan penganas dan melindungi pihak keselamatan di seluruh pelosok negara.

Mesir menghadapi pemberontakan IS di rantau terpencil di Sinai Utara yang telah membunuh beratus-ratus tentera dan polis sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini menyerang orang awam.

Kumpulan pemberontak yang berpangkalan di gurun barat, bersempadan dengan Libya juga menyerang pasukan keselamatan.

Perintah berkurung di utara SInai membabitkan sempadan bandar Rafah, berhampiran Gaza mulai pukul 7 malam hingga 6 pagi dan sekitar El-Arish mulai 1 pagi hingga 5 pagi. – MalaysiaGazette