KUALA LUMPUR – Lebih 80,000 orang khasnya golongan belia dari seluruh negara dijangka mengunjungi Ekspo Pemuda BN yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari ini dan esok.
Ekspo kerjaya yang dipercayai antara yang paling terbesar yang diadakan buat kali ke-38 sejak 2011 ini juga telah memberi peluang kepada hampir 250,000 golongan belia setakat ini.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ekspo itu sentiasa mendapat sambutan golongan muda pelbagai bangsa sehingga kini.
“Sasaran sentiasa meningkat berikutan sambutan hangat yang pernah diterima pada ekspo sama tahun lalu dan terdahulu sebelum ini.
“Kita yakin melalui pameran kali ini jumlah lepasan graduan yang masih tidak mempunyai pekerjaan dapat dikurangkan kerana sebelum ini sebanyak dua juta pekerjaan dicipta oleh kerajaan kepada anak muda melalui pelbagai karnival kerjaya. Ini adalah objektif kita.
“Saya berharap lebih ramai golongan muda berusia bawah 40 tahun datang kerana ekspo ini menawarkan pelbagai pekerjaan dan juga perkara lain berkaitan kerjaya,” katanya.
Melalui empat segmen yang dirangka khas iaitu Karnival Peluang Kerjaya, Rumah Mampu Milik, Latihan Kemahiran dan Dana Keusahawanan merupakan hasil manifestasi Pemuda BN yang selama ini berusaha mengumpul data mencari jalan penyelesaian setiap aspirasi berbangkit.
Ekspo ini juga mensasarkan penglibatan ahli akademik, pembeli hartanah, graduan, pelabur, pekerja professional, penyedia perkhidmatan dan juga pelajar yang mencari tempat latihan industri.
Pelbagai pameran yang melibatkan industri dan sektor pekerjaan disediakan dengan memberi tawaran khusus untuk membantu pengunjung mendapatkan maklumat terkini berkaitan peluang pekerjaan, skim-skim usahawan serta insentif terkini.
Selain itu, aktiviti lain yang disusun termasuk temuduga secara terus, klinik resume, ceramah, bengkel kerjaya, rundingan, program keusahawanan, demonstrasi produk dan juga cabutan bertuah.
Penganjuran ekspo itu selari dengan manifesto Jaminan Orang Muda (JOM) yang dilancarkan untuk belia dan Pemuda BN yang tidak menunggu selepas PRU14 untuk dilaksanakan.
Mereka yang menyertai ekspo ini bukan sahaja mampu menjalinkan hubungan dengan pemain industri malah akan terdedah kepada peluang pekerjaan dan latihan.
Usahawan muda juga mampu memperoleh manfaat untuk membina dan memperkembangkan perniagaan melalui program pembiayaan. – MalaysiaGazette