Home Politik BN Perak mula kenal pasti calon PRU-14

BN Perak mula kenal pasti calon PRU-14

Menteri Besar Perak ini dikatakan akan meninggalkan kerusi DUN Pangkor pada PRU14 ini.
Menteri Besar Perak ini dikatakan akan meninggalkan kerusi DUN Pangkor pada PRU14 ini.

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak sudah mula mengenal pasti nama yang berpotensi dijadikan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata pemilihan calon itu dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu tahap prestasi dan potensi calon-calon baharu.

“Kita sedang dan akan terus membuat penilaian prestasi wakil-wakil rakyat yang ada, sama ada mereka akan dikekalkan atau sebaliknya serta mengenal pasti calon-calon yang berpotensi termasuklah daripada parti-parti komponen seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

“Sepertimana kita buat pada penggal lalu kita akan membuat proses penyegaran parti selain mereka yang mempunyai kelayakan yang sebaik-baiknya tanpa melupakan calon akar umbi yang disukai rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Selamat Pagi Perak Bersama Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Auditorium Kompleks Bersepadu, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, setakat ini nama-nama calon sudah diberikan oleh parti komponen melalui perbincangan tidak langsung namun ia belum dimuktamadkan.

“Kita sedang membuat pemantauan dan setiap perkara kita akan bicang bersama untuk kepentingan parti,” katanya.

Mengulas mengenai tumpuan yang akan diberikan pada PRU14, Zambry berkata BN Perak akan memberi tumpuan di kesemua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

“Bagaimanapun kita perlu praktikal terhadap kawasan yang perlu kita menang, selain 31 kerusi (dimenangi dalam PRU13) kita perlu pertahankan mana-mana kawasan yang kita kalah tipis atau menang tipis,” katanya.

Mengenai tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Anggota Parlimen DAP Melaka bertindak keluar daripada parti, Zambry berkata ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya konflik dalaman yang berlaku dalam parti itu bukan hanya berlaku di Melaka sahaja malah di negeri-negeri lain.

“Ia bagaikan letusan gunung berapi dalam konteks negeri Melaka oleh kerana sejumlah empat orang keluar parti serentak dan ini adalah jumlah yang besar. Ini juga menggambarkan krisis dalaman yang serius yang turut dirasai di negeri lain,” katanya.-MalaysiaGazette