Home Utama BN bakal sapu bersih Parlimen Terengganu, 30 DUN

BN bakal sapu bersih Parlimen Terengganu, 30 DUN

Prof. Mazlan Ali bercakap pada Program Bicara PRU-14 Malaysia Memilih di Persada Canselori Universiti Kebangsaaan Malaysia Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) diramal akan memenangi semua kerusi Parlimen Terengganu sebanyak lapan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pemerhati politik, Dr Mazlan Ali berkata, menerusi hasil kajiannya pada September tahun lalu, BN juga dijangka memenangi 30 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia menjelaskan, Pas bakal berdepan kekalahan besar manakala Pakatan Harapan (PH) belum mampu lagi menawan hati pengundi di Pantai Timur.

“Faktor kemenangan BN kerana merupakan parti yang menguasai pengundi luar bandar dan orang Melayu sebagai subjek sudah ditawan.

“Saya jangkakan sebanyak 85 peratus pengundi Melayu akan menjadi simpanan tetap buat BN. Tetapi Pas akan berebut undi luar bandar dengan PH.

“Hasil kajian saya, di Pantai Timur BN akan menang banyak kerusi namun di Pantai Barat, situasinya berbeza atas faktor demografi dan isu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mazlan berpendapat, BN masih memiliki kelebihan memenangi PRU14 kerana persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Beliau menjelaskan, ini kerana faktor itu akan menjadikan kawasan campuran berkurangan sebaliknya kawasan berasaskan kaum meningkat.

“BN masih berpeluang menang PRU14 kerana persempadanan semula menyelesaikan faktor agihan pengundi tidak sama rata,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts