KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengesahkan akan bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Nama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu diumumkan malam tadi oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail di Padang Mat Sirat di Langkawi.
Dr. Mahathir memuatnaik poster yang menunjukkan beliau adalah calon Pakatan Harapan bagi P004 di laman sosial Instagramnya pagi ini.
“Sah, saya akan bertanding di P 004 Parlimen Langkawi pada pilihanraya umum yang akan diadakan pada 9 Mei 2018,” tulis Dr. Mahathir.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Langkawi disandang oleh Barisan Nasional menerusi wakili rakyatnya Datuk Ir Nawawi Ahmad yang menewaskan calok PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein dalam PRU13. – MalaysiaGazette